Waktu Solat

Mengenai Kami


Sejarah Penubuhan
Penubuhan sebuah Alumni untuk semua pelajar Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu adalah tunas idea Encik Nurrizal Ahmad Imran, seorang bekas pelajar SMAP, SPM 1990. Ahli Jawatankuasa Pro-Temp atau Penaja telah dipilih untuk melaksanakan pelbagai tugas untuk menubuhkan Alumni ini.

Nama Ittihad Khirriji Al-Ma'had Al-Islami Al-Fidrali (IKMAL) telah dipersetujui oleh semua ahli Jawatankuasa Pro-Temp yang hadir di mesyuarat bertarikh 21 Mac 1999 bertempat di kampus Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Nama IKMAL telah dicadangkan oleh Puan Adibah Abdul Ghafar dan disemak nahunya oleh Encik Ezad Azraai Jamsari. Namanya telah diubah kepada Al-Ittihad Li Khirriji Al-Ma'had Al-Islami Al-Fidrali pada Mesyuarat Agung IKMAL yang pertama pada 2 Oktober 1999 hasil teguran Tn Haji Muhammad Zahidi Hj Arifin.

Satu pertandingan logo IKMAL telah diadakan di SMAP dengan bantuan Puan Zainab, guru di SMAP yang juga merupakan seorang bekas pelajar SMAP. Logo IKMAL telah dipilih oleh ahli-ahli Jawatankuasa Pro-Temp IKMAL. Logo tersebut adalah rekaan adik Salwa Mohd Hadi dan ubahsuai oleh Encik Nurrizal Ahmad Imran.

Penaung IKMAL yang pertama ialah Yang Berbahagia Dato' Mohd Desa Pachi, Pengerusi Commerce Asset Holdings Berhad. Anak beliau, Mohd Rizal Mohd Desa, adalah bekas pelajar SMAP. Beliau telah bersetuju untuk menjadi Penaung IKMAL setelah perbincangan dibuat di rumah beliau pada 20 Mei 1999.

Pendaftaran IKMAL telah diajukan secara rasminya kepada Pendaftar Pertubuhan Malaysia pada 26 Mei 1999. Perlembagaan IKMAL pada hari ini telah diubahsuai mengikut kehendak Pendaftar Pertubuhan untuk membolehkan IKMAL didaftarkan secara rasmi sebagai sebuah pertubuhan Berdaftar menurut undang-undang.

Objektif Kami
1. Menjadi wadah untuk bekas pelajar, bekas guru, bekas pekerja, pelajar, guru dan pekerja Sekolah Menengah Agama Persekutuan, Labu (SMAPL) dan/atau Sekolah Menengah Agama Wilayah Persekutuan,Petaling Jaya (SMAWiP) menjalinkan persahabatan dan hubungan mesra diantara dan sesama mereka.
2. Menjadi wadah penganjuran program untuk bekas pelajar, bekas guru, bekas pekerja, pelajar, guru dan pekerja SMAP dan/atau SMAWiP.
3. Membantu anak-anak ahli IKMAL yang belajar di SMAP untuk melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi.
4. Menjadi sumber tabung maklumat (databank) yang memantau maklumat bekas pelajar, bekas guru dan bekas pekerja SMAP dan/atau SMAWiP.
5. Mengembalikan semula dan memperkuatkan identiti Islam bekas pelajar, bekas guru, bekas pekerja, pelajar, guru dan pekerja SMAP dan/atau SMAWiP.
6. Menyedarkan bekas pelajar, bekas guru, bekas pekerja, pelajar, guru dan pekerja SMAP dan/atau SMAWiP tentang tanggungjawab mereka terhadap Islam, sekolah dan masyarakat.
7. Membuktikan kepada masyarakat umum tentang kecemerlangan institusi agama sekaligus meningkatkan syiar Islam untuk keredhaan ALLAH SWT.

Maksud Logo

Logo Pertubuhan terdiri daripada empat (4) warna iaitu merah, putih, kuning dan biru, seperti bendera Malaysia;

Ia terdiri daripada tiga (3) helai kain berwarna merah, kuning dan biru, lambang kepelbagaian latar belakang pelajar SMAP dan ahli Pertubuhan dan lambang keupayaan SMAP untuk melahirkan generasi intelek di dalam pelbagai bidang;

Segitiga di belakang ketiga-tiga kain tersebut berwarna putih, lambang kesucian hati yang bersih dan seginya pula melambangkan didikan SMAP yang didasarkan kepada mottonya sendiri "Berilmu, Beriman dan Beramal".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan